4 Destinasi Menarik Untuk Dikunjungi Ketika Ramadan

Mei 15, 2019
By Rahayu Mat Nah

Ketika bulan Ramadan, tidak ramai yang berminat untuk melancong sama ada ke luar negara mahupun di dalam negara. Sebabnya, ada beberapa faktor yang menjadi kebimbangan.

Antaranya adalah keadaan fizikal yang tidak fit kerana tidak boleh makan atau minum, makanan halal serta tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca atau suasana tempat yang dilawati.

Bagaimanapun, tahukah anda dengan melancong di bulan Ramadan, anda boleh meneroka, menghayati, dan mempelajari beberapa aspek budaya Ramadan yang mungkin tidak ketahui sebelum ini. Bahkan, tidak mustahil anda boleh mendapat potongan harga menarik untuk tempahan hotel.

Jika percutian dilanjutkan sehingga Aidilfiri, anda boleh melihat sendiri kemeriahan sambutan perayaan ini di kalangan penduduk tempatan.  Berikut adalah 4 destinasi luar negara yang disyorkan oleh Traveloka untuk bulan Ramadan ini:

1) Istanbul, Turki

Terletak di sempadan Asia dan Eropah – Turki merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk Islam yang ramai dan paling unik di dunia kerana ia merentasi dua benua. Kebudayaan, tradisi dan sejarahnya yang luas membawa kepada pengalaman Ramadan yang luar biasa.

Semasa Eid, ramai membuat perjalanan ke Istanbul untuk melawat bandar yang kaya dengan seni bina Islam, serta mengunjungi Masjid Biru (juga dikenali sebagai Masjid Sultan Ahmed) dan Hagia Sophia untuk mendapatkan dan meningkatkan semangat mental dan rohani sewaktu beribadah.

Pastikan anda menikmati masakan halal yang terkenal seperti Simit, Sucuk, Lahmacun dan banyak lagi. Selain itu, merasai pengalaman sahur di mana akan dikejutkan dengan ketukan gendang yang dimainkan oleh pemain drum jalanan.

 2) Dubai, UAE

Sepanjang Ramadan, Dubai tidak sesibuk Istanbul. Tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong agak sunyi dan ini merupakan waktu paling ideal untuk merancang lawatan ke sini.

Ini bermakna, pengunjung tidak perlu berbaris panjang untuk melawat bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa. Selain itu, hotspot pelancong menawarkan pelbagai acara yang dianjurkan oleh kerajaan tempatan untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya bulan suci ini.

Selain itu, jangan sesekali lepaskan peluang berbuka puasa di khemah-khemah yang didirikan di sepanjang pantai. Ia satu pengalaman yang cukup berharga dan mungkin tidak boleh didapati di tempat-tempat lain.

3) Morocco

Destinasi yang paling unik di Afrika dengan pelbagai warisan, tradisi dan landskap yang luar biasa hasil gabungan budaya Arab-Afrika, dan sejarah Bohemia yang mengagumkan.

Sertai penduduk tempatan bersolat di masjid terbesar di Afrika, Masjid Hassan II, sambil menyaksikan air Lautan Atlantik melalui lantai kaca masjid yang unik. Jangan terlepas mencuba pastri tradisional Morocco dan teh pudina, hidangan khas semasa musim Ramadan.

4) Cairo, Mesir

Ramadan di Mesir disambut dengan hiasan besar, doa dan aktiviti kebudayaan yang memberikan pengalaman luar biasa kepada orang ramai. Rumah, restoran, pasar dan jalanan dihiasi dengan Fanoos tradisional yang berwarna-warni (tanglung Ramadan) untuk meraikan Ramadan.

Selain itu, bandar yang sentiasa bertenaga ini menjanjikan pengalaman kulinari yang tidak kurang hebatnya. Luangkan masa menjamu selera di kafe-kafe pinggir jalan dengan menikmati hidangan tempatan taamey, gabungan hidangan ful, bawang putih, bawang merah, dan herba.

Akhiri malam anda dengan perjalanan melalui El Moez Street, sebuah muzium terbuka monumen Islam. Sertai penduduk tempatan untuk kerja amal dan menyumbang kepada yang memerlukan, mengumpul dana dan menyediakan makanan.

Kredit foto : Traveloka & Dino Reichmuth, Unsplash

Similar Articles

Tip Bercuti di Bulan Ramadan

By Rahayu Mat Nah
Mei 6, 2019

5 Produk Halal Menarik di MIHAS 2019

By Shah Shamshiri
April 24, 2019

Percutian Hebat di Amari Hua Hin

By Rahayu Mat Nah
April 10, 2019

Glow Ao Nang Sesuai Bajet, Makanan Halal Pun Senang

By Rahayu Mat Nah
April 24, 2019