Guna Aplikasi Pulse Untuk Sesi Konsultasi Dengan Doktor

Jun 25, 2019
By Nor Syariza Tahir

Perkembangan teknologi yang begitu pesat terutamanya dalam penggunaan aplikasi secara dalam talian telah mewujudkan keperluan untuk mempunyai aplikasi berkaitan penjagaan kesihatan bagi membantu masyarakat mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan lebih cepat dan mudah.

Menyedari kepentingan itu, syarikat insurans terkemuka, Prudential Assurance Malaysia Bhd. (PAMB) telah memperkenalkan Pulse, sebuah aplikasi dengan perintis kecerdasan buatan (Artificial Intelligence).

Hasil kerjasama antara Prudential dan Syarikat Babylon Healthcare Services Limited United Kingdom, DoctorOnCall serta AIME telah membolehkan aplikasi itu diperkenalkan buat julung kalinya di Malaysia.

Pulse merupakan aplikasi yang unik kerana ia berfungsi mengikut kesesuaian individu.

Pengguna aplikasi tersebut bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat mengenai status kesihatan mereka, malahan boleh bercakap dengan doktor secara dalam talian dan mendapatkan penghantaran ubat secara terus kepada mereka.

“Aplikasi ini mampu membantu pengguna mencegah dan melindungi diri daripada serangan penyakit,” ujar Ketua Eksekutif Prudential Corporation Asia, Nic Nicandrou.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif PAMB, Gan Leong Hin pula menerangkan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan masa selama 14 jam sehari dengan peranti digital mereka dan 71% pencarian mengenai kesihatan adalah menggunakan telefon bimbit.

“Sebanyak 23% aplikasi yang dimuat turun daripada internet adalah mengenai kesihatan.

“Oleh itu, Prudential menumpukan usaha untuk memberikan mereka perkhidmatan yang bernilai dan mudah digunakan oleh rakyat Malaysia pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada,” katanya.

Pulse menilai tahap kesihatan pengguna yang merangkumi gaya hidup, kesihatan mental, kesihatan organ dalaman dan risiko penyakit pada masa akan datang menerusi soal selidik dengan pengguna.

Aplikasi itu dapat memberikan maklumat mengenai tahap kesihatan semasa pengguna serta memberi kesedaran terhadap aspek yang perlu diperbaiki.

Ia juga mempunyai fungsi ‘Symptom Checker’, di mana melalui sesi soal jawab, aplikasi itu akan membawa pengguna kepada kemungkinan diagnosis atau penyebab kepada gejala yang dihadapi.

Kemudian, pengguna boleh memilih untuk bercakap dengan seorang doktor secara dalam talian dengan bayaran hanya RM1.

Doktor tersebut akan memberikan diagnosis dan mencadangkan rawatan yang sesuai serta mengeluarkan preskripsi secara elektronik sekiranya perlu.

“Konsultasi secara dalam talian melalui Pulse yang dijalankan dengan kerjasama DoctorOnCall membolehkan pengguna mendapatkan khidmat nasihat dengan doktor-doktor bertauliah dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

“Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan preskripsi secara online dan ubat-ubatan,” ujar Pengasas Bersama DoctorOnCall, Maran Virumandi.

DoctorOnCall merupakan klinik dalam talian yang menawarkan perkhidmatan konsultasi dengan doktor bertauliah bagi penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, demam, masalah kulit dan masalah kesihatan lain.

Ini memberi peluang kepada pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dari mana jua mereka berada selain ubat-ubatan akan dihantar terus kepada pesakit selepas sesi konsultasi jika diperlukan.

Pulse boleh didapati dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store dan AppStore.

Foto: PR Newswire, Daniel Frank & Online Marketing (Unsplash)

 

Pengguna aplikasi tersebut bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat mengenai status kesihatan mereka, malahan boleh bercakap dengan doktor secara dalam talian dan mendapatkan penghantaran ubat secara terus kepada mereka.

Similar Articles

Beli Sehingga 5 Telefon Pintar Menerusi MaxisONE Share Line

By Nor Syariza Tahir
Jun 13, 2019

Celcom Pamer Teknologi 5G

By Nor Syariza Tahir
Mei 10, 2019

Inovasi Baharu Lenovo

By Nor Syariza Tahir
Mei 24, 2019

Jual Kenderaan Terpakai Secara Online

By Nor Syariza Tahir
Mei 14, 2019

Tak Perlu Bawa Wang Untuk Membeli KFC

By Nor Syariza Tahir
Mei 16, 2019

Touch n’ Go Perkenal Bazar Ramadan Tanpa Tunai

By Helmi Anuar
Mei 8, 2019