Dunia Digital Fara Fauzana

Julai 8, 2019
By Helmi Anuar

Bermula sebagai salah seorang ahli Skuad Perodua Era, bakat Fara Fauzana, 39, diangkat menjadi penyampai radio. Namun segmen pertama yang dikendalikan wanita asal Shah Alam ini adalah ‘Pekabo Di Era’ yang ke udara pada jam 12 tengah malam.

Jika Cinderella berubah menjadi miskin tepat jam 12 malam, namun lain pula bagi Fara Fauzana. Dari detik 12 tengah malam itulah bakatnya sebagai penyampai radio diperhatikan sehingga akhirnya beliau diletakkan di segmen utama dan seterusnya disambar stesen radio HotFM sebagai penyampai radio utama mereka.

Kerjaya Fara juga tidak tertumpu kepada bidang penyiaran radio sahaja, malah wajahnya turut menjadi rebutan sebagai pengacara televisyen. Program hiburan popular, ‘Melodi’ berjaya dikemudikannya selama beberapa tahun sebelum beralih arah kepada program bercorak kewanitaan iaitu ‘Nona.’ Itu belum dikira tugas beliau sebagai pengacara untuk anugerah-anugerah berprestij di Malaysia.

Rekod cemerlang Fara sebagai personaliti radio dan televisyen Malaysia juga boleh diukur dengan deretan Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang pernah dimenanginya selama 9 tahun berturut-turut bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular.

Tidak berlebihan jika kami simpulkan Fara Fauzana adalah ikon dunia penyiaran radio dan pengacaraan di Malaysia. Dek popularitinya sebagai penyampai radio dan pengacara TV, bakat Fara turut diangkat ke layar lebar dan kaca televisyen sebagai pelakon. Filem ‘Jin Notti’ menampilkan beliau sebagai heroin di samping Mawi. Malah Fara turut mempunyai sitkom sendiri yang berjudul ‘Fara’ arahan pengarah terkenal Aziz M Osman.

Sewaktu namanya masih meniti di bibir peminat, tiba-tiba Fara membuat keputusan untuk berundur dari dunia penyiaran radio selepas 10 tahun berkhidmat bersama HotFM.

Saya rasa kita perlu bergerak mengikut arus. Sekarang adalah era digital. Sama juga seperti SalamToday. Everybody is going digital now.  Saya kini selesa mengendalikan DBilique yang bersiaran secara dalam talian bersama rakan-rakan saya Faizal Ismail dan juga Tini. Alhamdulillah DBilique kini mencecah usia 1 tahun. Kami masih lagi bertahan and more to come Inshaallah”.

Baru-baru ini suara Fara ada kedengaran di stesen radio SuriaFM selama seminggu di segmen pagi. Ramai yang menyangka bahawa Fara kini kembali bertugas sebagai penyampai radio. Namun kata Fara dia memenuhi undangan sebagai tetamu jemputan untuk menemani pengendali segmen pagi SuriaFM iaitu Fizi Ali dan Issey.

Ditanya adakah tawaran dari stesen lain yang mahu menyunting Fara sebagai penyampai radio mereka, kata Fara ada beberapa stesen yang pernah cuba tetapi jawapannya adalah tidak.

Ianya bukan sebab saya tidak mahu kembali ke dunia penyiaran radio, tetapi zaman sekarang semua sudah lebih ke arah digital. Tetapi saya sentiasa terbuka untuk membantu, seperti mana yang saya lakukan di SuriaFM. Jika perlukan bantuan saya untuk khidmat konsultasi radio pun saya akan bantu kerana saya pernah ke beberapa stesen radio di Malaysia dan membantu mereka dari segi latihan. Jika ada orang yang bertanya adakah saya rindukan radio? Jawapan saya adalah tidak! Kerana saya sering dikelilingi oleh mereka dari kalangan dunia penyiaran radio.”

 

Risau Nasib Penyampai Radio Wanita

Melihatkan trend sekarang di mana penyampai radio lelaki lebih menyerlah dan sering mendominasi anugerah bagi kategori penyampai radio, perkara ini sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan terhadap Fara melihatkan nasib penyampai radio wanita di Malaysia. Jika dahulu kategori untuk anugerah penyampai radio dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan perempuan, namun kini kedua-duanya digabungkan.

Suka ataupun tidak, situasi sentiasa berubah. Saya tidak ada hak untuk mempersoalkan kategori anugerah kerana itu adalah apa yang pihak penganjur tentukan. Jika zaman dahulu, bila bercakap tentang penyampai radio everything is about the voice. Ton suara mereka kita sudah boleh tahu mereka adalah penyampai radio. Di zaman saya pula penyampaiannya lebih kepada ‘being real‘. Zaman sekarang pula it is all about personality. Memang sekarang ini personaliti penyampai radio lelaki lebih menyerlah. Cuma saya sedikit risau kerana saya rasa sayang ada beberapa penyampai radio yang boleh menyerlah tetapi mungkin kita yang terlepas pandang”.

Ditanya siapakah penyampai radio wanita di Malaysia masa kini yang dilihat mampu untuk pergi jauh, kata Fara ada beberapa penyampai yang berjaya menarik perhatiannya.

“Feeya Iskandar adalah penyampai radio wanita yang patut diberikan perhatian. Kebolehan dia untuk mengendalikan segmen seorang diri harus diberikan pujian. Saya sendiri perlukan partner’ untuk deliver. Suraya Borhan juga sangat bagus mengedalikan segmen petang di Suria. Tidak terkecuali Aishah Sinclair.

Kadang-kadang mereka ini perlukan kata-kata semangat dari penyampai yang lebih senior untuk menaikkan prestasi mereka. Saya dulu pernah ditegur oleh Linda Onn tentang cara penyampaian saya. Saya sangat suka jika ada yang menegur saya supaya saya dapat perbaiki kelemahan diri. Paling baik saya rasa adalah bagi semua penyampai mendapat peluang yang sama untuk menyerlah tidak kira lelaki mahu pun perempuan.”

Fara juga merupakan seorang yang sangat aktif di media sosial dan sering berkongsi tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukannya bersama lebih 2 juta pengikut di Instagram. Kata Fara penting bagi seorang selebriti untuk aktif di media sosial dan berhubung dengan peminat.

“Sekarang zaman sudah berubah, jika kita tidak menang menerusi anugerah, kita mungkin menang dari segi media sosial— cara kita mendekatkan diri dengan peminat. Media sosial sangat penting walaupun kadang-kadang saya rasa malas untuk mengemaskini akaun Instagram. Suka ataupun tidak, sekarang saya sudah masuk ke era digital. Ada sesetengah perkara yang memberi impak kepada orang.”

Dengan pengalaman yang ada pada diri Fara baik dari segi penyampaian radio dan juga pengacaraan, dirinya sudah layak untuk menjadi mentor atau menjadi guru untuk mereka yang mahu menceburkan diri dalam dunia penyiaran radio dan pengacaraan. Kata Fara perkara itu pernah difikirkannya, namun gusar andai tiada siapa yang mahu hadir ke bengkel yang dianjurkannya.

“Saya selalu terfikir ada tak orang nak datang? Katanya sambil ketawa. Sebenarnya ramai yang bertanya tentang hal ini, tetapi itulah, saya takut tak ada orang nak datang. Ramai yang mahu jadi penyampai radio tetapi mereka tidak tahu asas yang sebenar. Tetapi saya pernah jadi penceramah di bengkel-bengkel untuk berkongsi pengalaman. Dan sekarang ini kami di DBilique juga sedang mencari protégé bagi mereka yang ingin mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan dalam dunia digital.”

 

Bisnes & ‘Me Time’

Selain sibuk dengan program DBilique, Fara juga kini semakin seronok mengendalikan perniagaannya. Mungkin ramai yang tidak tahu Fara mempunyai kedai minuman Chatime yang dibuka di Jakel Mall Kuala Lumpur.

“Sebenarnya saya tidak pernah war-warkan tentang perniagaan saya ini. Mana yang tahu tu, tahulah. Kadang-kadang bila saya ada di kedai, saya akan bagitahu pelanggan yang saya cuma buat ‘part-time’ sahaja di sana”.

Biarpun menjadi seorang bos, tetapi Fara juga tidak melepaskan peluang untuk turun padang dan bersama-sama membantu pekerjanya di waktu sibuk.

“Waktu bulan Ramadan yang lalu, saya banyak menghabiskan masa di kedai sahaja. Bila kita berada di kedai dan melihat sendiri situasi yang sibuk di sana, barulah kita faham tentang tugas pekerja. Saya turut menjadi ‘runner’ mereka andai mereka tidak menang tangan. Tetapi seronok sebenarnya.

Sering sibuk mengendalikan segmen DBilique dan juga perniagaan, namun Fara tetap pastikan dia mempunyai ‘me time’ atau masa untuk dirinya sendiri.

Myme timecan be my time with my parents. Kadang-kadang saya akan jadi driver mama kalau dia nak pergi mana-mana. Saya seorang sahaja yang masih belum berkahwin dalam keluarga. Jadi bila ada masa terluang saya akan luangkan dengan mereka sebab bila saya sibuk, saya akan sibuk sesibuk-sibuknya.

Selain luangkan masa bersama keluarga, saya juga sibukkan diri dengan mengembara dan membuat kerja-kerja kemanusiaan. Seperti baru-baru ini saya ada urusan di Tawau jadi saya curi masa pergi ke Semporna untuk beraya di sana. Benda ni saya nak buat dulu sangat susah sebab terikat dengan kerja. Saya berhenti kerja dulu sebab apa? Sebab saya nak buat benda-benda macam ni. Jadi saya buatlah!

“Baru-baru ini saya buat kerja gila pergi Jepun tiga hari sahaja. Kebetulan kawan saya kena pergi Jepun, randomly saya cakap saya nak ikut. Biarpun jangka masanya sangat singkat, tetapi saya sangat enjoy“.

Fara juga bakal muncul dengan filem terbaru tidak lama lagi setelah sekian lama tidak muncul di layar lebar.

“Tahun depan saya akan muncul dengan filem ‘Adiwiraku 2.’ Saya buat penampilan istimewa dalam filem itu dan saya sangat suka kerana saya memang peminat filem Adiwiraku,” jelas Fara mengakhiri perbualan.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Fara Fauzana
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Helmi Anuar
  • Penata Gaya Hijab : Farah Dinana
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Syed Faizal Syed Noh
  • Busana : Ezzati Amira
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam
Saya rasa kita perlu bergerak mengikut arus. Sekarang adalah era digital. Everybody is going digital now.  Saya kini selesa mengendalikan D’Bilique yang bersiaran secara dalam talian bersama rakan-rakan saya Faizal Ismail dan juga Tini.

Similar Articles

“Saya Hampir Berhenti” – Sarah Raissuddin

By Helmi Anuar
Jun 23, 2019

Dunia Baru Shila Amzah

By Nor Syariza Tahir
Jun 3, 2019

Kemilau Bintang Ummi Nazeera

By Ili Farhana
Mei 19, 2019

Kisah Nur Fazura & Hijab Di Bulan Ramadan

By Helmi Anuar
Mei 6, 2019

Kisah Hati Alyah

By Helmi Anuar
Mei 26, 2019

Metamorfosis Liyana Jasmay

By Ili Farhana
Mei 12, 2019

Warna Kehidupan Wawa Zainal

By Helmi Anuar
Julai 1, 2019